Thursday 31 July 2014

Juadah-juadah Hari Raya Paling Popular, ape komen anda?

10 Juadah Hari Raya Paling Popular

Hari Raya datang lagi. Walaupun semakin banyak makanan dan kuih-muih raya moden yang diperkenalkan, namun beberapa juadah raya dan kuih raya kekal mengungguli pilihan juadah di pagi Hari Raya. Ketahui 10 daripadanya.

Rendang Ayam/ Daging/ Tok (Perak)

Rendang antara juadah raya yang dulu hanya ada di musim perayaan. Pada kebiasaannya rendang yang dihidang terdiri daripada rendang ayam dan daging lembu, namun di negeri Pahang daging kerbau lebih menjadi pilihan. Begitu juga degan negeri Perak yang terkenal dengan rendang Tok yang lebih gelap berbanding rendang yang biasanya ditemui di negeri lain. Rendang Nogori pula paling mudah untuk dimasak kerana bahan-bahannya yang lebih ringkas dan cara masak yang sangat mudah.

Ketupat/ Nasi Impit

Hari Raya tanpa ketupat sama seperti tidak beraya jika di Malaysia. Di zaman moden ini ramai yang hanya menghidangkan ketupat segera, adaptasi daripada nasi impit zaman dulu. Namun suka atau tidak, ia tetap tidak sama dengan ketupat yang dipotong sendiri daripada anyaman daun kelapa kerana daun inilah yang memberikan rasa yang berbeza daripada ketupat moden.

Lemang/ Lepat/ Ketupat Palas

Lemang, lepat dan ketupat palas, semuanya dibuat daripada beras pulut. Namun lemang punyai sedikit kelainan kerana ia dimasak bersama santan. Lepat adalah beras pulut yang dicampur kelapa parut dan garam dan dibungkus dengan daun kelapa dan direbus seperti ketupat nasi. Ketupat palas pula sama seperti ketupat tetapi beras digantikan dengan beras pulut. Salah satu jenis masakan pulut ini amat popular sebagai juadah raya yang dimakan bersama apa juga jenis rendang.

Kerisik Kosong atau Babat

Kerisik sudah semakin kurang didapati sebagai juadah raya, namun ia juga sejenis hidangan yang sinonim dengan Hari Raya dan serasi dengan ketupat. Sama ada kerisik dimasak kosong atau ditambah babat (bahagian perut lembu yang berwarna hitam), jangan lepaskan peluang merasainya jika anda terjumpa dimana-mana rumah warga Johor. Sekali rasa pasti terpesona.

Sambal Kacang

Juadah raya paling ringkas adalah sambal kacang atau kuah kacang yang dimakan dengan ketupat atau nasi impit. Walaupun hidangan yang ringkas, sekali makan pasti bertambah lagi dan lagi, bergantung kepada ras sambal kacang. Terkini, sambal kacang sedap jika ditambah daging atau ayam tetapi pastikan ketulannya kecil dan hanya sebagai tambahan kepada sambal kacang.

Kuih Raya - Dodol

Walaupun sambutan agak kurang kepada dodol kerana telah dikomersilkan, ia juga merupakan mansan kuih raya yang sinonim dengan Hari Raya. Manisan yang likat dan kadangkala dimasak keras ini boleh ditambah rasanya dengan durian bagi peminat durian. Kemeriahan memasak dodol sempena menyambut raya tentu menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi generasi terdahulu.

Kuih Raya - Bahulu

Biar pelbagai jenis kek moden terdapat dipasaran, tetapi Hari Raya dirasakan kurang sempurna tanpa bahulu.Dahulu hanya bahulu yang bersaiz kecil, kini kepelbagaian bahulu telah direka termasuk bahulu pelbagai rasa dan bahulu gulung. Yang asli bahulu yang dimasak dengan arang dan inilah yang menggamit suasana Hari Raya.

Kuih Raya - Tumpi / Rempeyek

Dua ‘keropok’ asli Hari Raya ini kekal menjadi penyeri di Hari Raya dan masih diminati oleh kanak-kanak walaupun dalam generasi moden kini. Dipelbagaikan dengan tambahan ikan bilis dan kacang dhal, ia terus-terusan dihidangkan sebagai kuih raya walaupun telah dikomersilkan melangkau musim perayaan.

Kuih Raya - Almond London

Ini antara kuih raya moden mampu bertahan dan dapat kekal sebagai kuih raya. Ia menjadi terkenal kerana kanak-kanak sangat sukakannya disebabkan dua benda: kacang badam didalamnya dan coklat yang menyeliputinya. Bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa juga meminati kuih raya moden ini.

Kuih Raya - Tat Nenas

Satu lagi jenis kuih raya moden yang berjaya mendapat tempat sebagai kuih raya ialah tat nenas. Sejak ia mula dihidang sebagai kuih raya, popularitinya tidak pernah surut. Walaupun telah dipelbagaikan bentuk dan rasa, namun tat nenas yang asli masih lagi bertahan sebagai kuih raya yang sentiasa di cari





























No comments:

Post a Comment