Tuesday, 15 July 2014

Kasih RM500,000


Shah Alam: Naluri seorang bapa untuk melihat anaknya sihat seperti bayi lain mendorong lelaki itu untuk mendermakan sebahagian hatinya biarpun kos pemindahan organ berkenaan menelan belanja lebih RM500,000.

Bayi berkenaan, Arshad Imanshah Antashah, 15 bulan menderita penyakit Atresia Biliari (hati) sejak dilahirkan dan kos rawatan pemindahan organ itu akan dilakukan di Hospital Universiti Singapura (HUS) namun memerlukan kos pembedahan yang tinggi.

Bapa berkenaan, Antashah Mohd Nor, 33, berkata, dia sanggup melakukan apa saja demi melihat anak keduanya itu sihat seperti bayi normal.

yang lain walaupun terpaksa berkorban wang ringgit, mahupun kesihatan diri sendiri.

“Anak adalah anugerah paling berharga daripada Allah.

Apa saja saya sanggup lakukan asalkan Arshad kembali sihat.


ANTASHAH menunjukkan gambar Arshad (berbaju biru) yang menghidap penyakit Atresia Biliari.


Saya percaya setiap bapa di dunia ini akan melakukan perkara sama jika berdepan dengan masalah seumpama ini.

“Saya tidak ingin dilihat sebagai seorang ‘hero’ yang menyelamatkan anaknya, tetapi keputusan saya untuk mendermakan sebahagian hati kepada anak adalah rasa tanggungjawab serta amanah daripada Tuhan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di sini, semalam.

Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, doktor ada memaklumkan kesan sampingan terhadap kesihatan dirinya jika melakukan pemindahan berkenaan, namun kesan terbabit bersifat minimum dan beliau sanggup untuk melakukannya.

Katanya, setiap bapa di dunia ini pastinya ingin melihat anak mereka sihat sama seperti bayi atau kanak-kanak normal lain dan itu menjadi dorongan utama kepada beliau untuk melakukan pembedahan berkenaan.

“Pada mulanya, hati saya berat untuk melakukan pembedahan berkenaan kerana sangat kasihan melihat anak yang begitu kecil dibedah, namun jika dibiarkan mungkin keadaan kesihatan Arshad akan bertambah serius.

“Selain itu, sudah ada beberapa contoh terbaik bayi yang menghadapi masalah sama berjaya melakukan pemindahan organ berkenaan dan kini sihat seperti bayi lain.


Itu adalah antara penguat azam saya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kekangan utama baginya untuk melakukan pemindahan hati berkenaan adalah kos pembedahan yang menjangkau RM500,000.

Menurutnya, jumlah itu hanya kos pembedahan saja tidak termasuk dengan lain-lain rawatan susulan yang perlu dilakukan sebelum dan selepas pembedahan dilaksanakan.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, dia mengambil inisiatif sendiri dengan mewujudkan satu ruangan khas di Facebook (FB) yang diberi nama ‘Donate and Save Arshad Imanshah’ yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi pembedahan pemindahan hati berkenaan.

“Ruangan khas itu baru saja diwujudkan pagi tadi (semalam) dan saya mendapat maklum balas yang baik daripada orang ramai.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5628 4350 6388 (Antashah Mohd Nor),” katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

SUMBER : MyMetro

No comments:

Post a Comment