Thursday, 24 July 2014
Pesawat terhempas di Taiwan: 48 terbunuh, 10 terselamat
Belum reda dengan MH17, terbaru 48 maut dan sepuluh terselamat apabila pesawat TransAsia Airways penerbangan GE222 yang membawa 58 penumpang termasuk anak kapal terhempas di atas sebuah rumah berhampiran lapangan terbang Magong di Pulau Penghu, Taiwan semalam.
Menurut laporan AFP, saksi dan media tempatan berkata pesawat terbabit terhempas ekoran cuaca buruk setelah beberapa kali cuba membuat pendaratan.
Pesawat jenis ATR 72-500 dengan dwi kipas turbo itu sedang dalam perjalanan dari bandar barat daya Kaohsiung menuju ke kepualauan terbabit setelah ditunda kerana cuaca buruk ekoran Taufan Matmo yang membadai Taiwan.
"Kami telah menemui 42 mayat dan beberapa cebisan bahagian badan,” ujar seorang pegawai bernama Tsai dari jabatan bomba daerah terbabit kepada AFP.
Pesawat itu yang diklasifikasikan sebagai GE 222 berlepas pada pukul 5 petang dari Kaohsiung dan dijangka tiba di Magong pukul 5.35 petang.
"Terdapat 58 orang di dalam pesawat termasuk empat anak kapal, empat kanak-kanak dan sehingga kini, mengikut maklumat yang ada, 12 cedera dan telah dihantar ke hospital manakala 46 masih hilang,” menurut Menteri Pengangkutan Yeh Kuang-shih yang bercakap kepada pemberita pada awal kejadian.
Tambah Yeh, dua warganegara Perancis dilaporkan berada di dalam pesawat dan kedutaan de facto Perancis telah pun dimaklumkan.
Kementerian Luar Perancis mengesahkan dua rakyatnya yang terbunuh adalah pelajar jurusan perubatan.
TransAsia pula dalam satu kenyataan berkata, mereka akan membayar pampasan sebanyak Tw$1 juta (RM105,620) kepada keluarga mangsa yang terbunuh manakala Tw$200,000 (RM21,124) kepada mangsa yang cedera.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment