Cuba pembaca
bayangkan seorang bayi yang baru berusia dua minggu, yang masih lembut
tubuhnya dihayun ke kiri dan kanan oleh seorang dewasa mengelilingi
kepala serta diperlakukan seolah-olah seperti peralatan senaman harian.
Menakutkan?
Begitulah ‘Yoga
Bayi’ yang dipraktikkan oleh seorang pakar terapi dari Russia, Lena
Fokina, 51, terhadap seorang bayi yang menjadi ‘mangsa’nya dan aksi-aksi
‘akrobatik’ tersebut jelas membimbangkan ramai pihak, khususnya para
ibubapa.
Menurut Lena,
terapi itu asalnya diamalkan oleh puak-puak Afrika purba yang
kemudiaannya dipermodenkan oleh seorang pakar, Dr. Igor Charkovsky, dan
dilakukan terhadap bayi yang berusia beberapa minggu hingga umurnya
mencecah dua tahun.
Wanita Rusia
itu juga menjelaskan bahawa teknik itu sangat membantu tumbesaran bayi
dan menegaskan bahawa tindakannya itu tidak salah dari sudut kemanusiaan
sama sekali.
“Kaedah ini
pada asalnya dibangunkan untuk menyembuh dan membetulkan kesihatan bayi
yang mempunyai masalah otot atau tulang, namun ia juga sesuai untuk
kanak-kanak yang sihat.
“Pergerakan ini direka untuk meningkatkan keupayaan otot dan pembangunan mereka.
“Dan sebenarnya
bayi mampu membaca, menyanyi, bercakap, berenang sejak dilahirkan. Ia
(yoga bayi) juga membuat tangan mereka yang lebih kukuh. Kami berperi
kemanusiaan dan tidak berbuat apa-apa kesalahan pun,” katanya yang
dipetik dari laman Dailymail.uk.com.
Meskipun
menyedari ramai pihak yang marah melihat perlakuannya terhadap bayi yang
menjalani terapi yoga bayi itu, Lena menegaskan bahawa tubuh badan bayi
yang masih lembut itu mampu menyesuaikan diri dengan kaedah itu.
“Tubuh badan bayi yang kecil yang boleh menyesuaikan diri dengan proses mudah jika diamalkan secara beransur-ansur.
“Bayi itu akan
selamat (dari sebarang kecederaan) sekiranya ibubapanya atau pengamalnya
mempelajari, memahami dan menggunakan cara yang diajar oleh Dr.
Charkovsky.
“Kebanyakkan
orang rasa marah melihatnya (cara terapi yoga bayi) kerana mereka tidak
sedar mengenai keupayaan sebenar bayi sedangkan sebenarnya kebolehan
bayi-bayi ini lebih luas dari yang difikirkan,” katanya lagi.
Bagaimanapun,
hujah Lena dan Dr. Charkovsky ini telah mencetus kontroversi dari ramai
pakar-pakar perubatan moden yang membantah terapi ‘kejam’ itu. Ada di
antara pakar-pakar itu yang berpendapat bahawa terapi itu mampu
menyebabkan gegaran otak dan mengakibatkan kecacatan mental bayi.
Lena
menyifatkan kritikan negatif yang diterimanya itu sebagai jahil dan
melalui pengalaman selama 30 tahun mempraktikkan yoga bayi, belum ada
lagi bayi yang berakhir dengan kecacatan mental mahupun fizikal.
“Pertama kali
saya mencuba yoga bayi ialah pada 30 tahun lalu terhadap anak perempuan
sulung saya, Alexandra. Pada mulanya saya bimbang, tetapi kemudian saya
menyedari bagaimana anak-anak saya gembira menikmatinya dan ia begitu
memberi inspirasi kepada saya.
“Mereka yang
mengkritik kaedah ini adalah jahil. Jika mereka cuba untuk memahami apa
yang kami lakukan, mereka akan mengubah pemikiran (tanggapan) mereka.
Semua anak-anak
saya telah berkembang mengikut kaedah Charkovsky dan mereka semua telah
mencapai keputusan cemerlang dalam kehidupan. Anak-anak saya adalah
juara Russia dalam acara payung terjun, terjun bebas dan menunggang
kuda.
“Sekarang
anak-anak saya mengamalkan mereka kaedah-kaedah yang sama pada anak-anak
mereka sendiri. Ia adalah bukti yang terbaik,” katanya penuh yakin.
Berikut adalah
aksi bayi yoga yang dimaksudkan dan para pembaca diingatkan agar jangan
melakukan aksi-aksi sedemikian selagi tidak mempelajari dan mahir dengan
kaedah yang diperkenalkan Dr. Charkovsky tersebut.
No comments:
Post a Comment