Wednesday 13 August 2014

Suami isteri harap bayi hidap penyakit kepala besar segera dibedah


Suami isteri harap bayi hidap penyakit kepala besar segera dibedah



AZMAN Muktar bersama isteri, Zuraini Mahmood mengusap kepala Siti Hajar yang menghidap penyakit hidrosefalus di rumah mereka di Permatang Tok Gelam, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din

KEPALA BATAS 12 Ogos - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itu yang dialami Azman Muktar, 41, dan isterinya, Zuraini Mahmood, 42, apabila anak perempuan mereka, Siti Hajar, 10 bulan, menghidap penyakit hidrosefalus yang menyebabkan pembesaran berlebihan pada bahagian kepala.

Zuraini berkata, ketika usia kandungannya lima bulan, doktor di Hospital Seberang Jaya telah memaklumkan perkara itu namun tidak pasti tahap jangkitan yang bakal dihadapi anaknya.

"Ketika dilahirkan, kepala Siti Hajar berukur lilit 40 sentimeter (sm) dan terus bertambah sehingga 60 sm sekarang. Kami dimaklumkan oleh doktor anak saya ini perlu menunggu sehingga satu tempoh yang sesuai supaya dapat dilakukan pembedahan kerana ketika ini umurnya sangat muda," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Tok Gelam, Penaga, dekat sini hari ini.

Zuraini berkata, setiap tiga bulan anak bongsunya itu akan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Doktor akan memberikan beberapa jenis ubat. Pada masa tertentu, jika Siti Hajar berasa tidak selesa, dia akan menangis sepanjang masa dan memerlukan penjagaan rapi. Jika saya bekerja, suami akan jaga dan begitulah sebaliknya," katanya.

Zuraini yang bekerja kilang di Bayan Lepas berkata, walaupun keadaan anaknya tidak seperti bayi lain, namun mereka sekeluarga menerimanya sebagai ujian daripada Allah.

"Kasih sayang terhadap Siti Hajar tidak berubah, sama seperti dua abangnya iaitu Hairi Akmal, 10, dan Hazzree Husairi, 6.

"Apa yang kami lakukan sekarang ialah bersabar dan berdoa supaya pembedahan dapat dilakukan segera," katanya yang memberitahu mereka memerlukan kira-kira RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang dan susu.

Sementara itu, Azman berkata, dia sangat berharap anaknya pulih dan membesar seperti kanak-kanak lain.

Azman yang melakukan kerja-kerja kampung berkata, dia berasa sedih setiap kali anaknya menangis dan berharap keadaan itu tidak berpanjangan.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubungi talian 019-5618699 atau menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 157063814401.

SUMBER : UTUSAN MELAYU

No comments:

Post a Comment