Tuesday, 8 July 2014

Pemuda Pas selami realiti hidup warga bandar






Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat mengagihkan juadah bersahur dan menikmatinya bersama warga kota ketika bersahur awal pagi tadi di sekitar stesen bas Pudu Sentral, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Pemuda Pas

KUALA LUMPUR - Terpanggil merasai sendiri kehidupan sebagai anak kota yang sibuk, Pemuda Pas Pusat mengambil inisatif mengedarkan juadah bersahur kepada warga kota.

Dengan mensasarkan kawasan Pudu Sentral sebagai lokasi utama pengedaran juadah itu, Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat yang mengetuai 'dapur jalanan' itu memula operasi seawal jam 4.30 pagi tadi.

Menurut Suhaizan, kehadiran mereka disambut meriah warga kota untuk mendapatkan juadah bersahur khususnya bagi mereka yang baru pulang dari perjalanan jauh.

"Kehadiran kami disambut 'meriah' warga kota, malah mereka duduk bersila bersama pimpinan Pemuda Pas menikmati juadah pagi itu.

"Hanya berbekalkan 100 bungkus nasi dan air minuman, kami mengedarkan juadah sahur kepada setiap pengunjung di situ," katanya dalam satu kenyataan.

Hadir sama dapur jalanan Pemuda Pas itu ialah Timbalan Ketua Pemuda Pas, Khalil Abdul Hadi; Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohd Sany Hamzan; Exco Pemuda Pas, Nurul Islam Mohd Yusof dan beberapa orang aktivis parti.

Katanya lagi, juadah bersahur tersebut turut dinantikan golongan gelandangan yang berada di Dataran Maybank, yang kebanyakannya tidak memiliki rumah kediaman sendiri.

"Sedikit pengalaman ini cukup buat kami merasai denyut nadi masyarakat bahawa ada segelintir mereka yang benar-benar tersepit dalam arus kemodenan dan kos hidup yang terlalu tinggi.

"Mereka hanya mampu menjadikan perhentian bas, bawah jambatan, bangunan, lorong gelap sebagai kediaman mereka.

"Sebahagiannya pula hidup di tengah malam dengan melakukan pelbagai pekerjaan tetap atau sampingan bagi menampung keperluan keluarga," katanya sambil menambahkan juadah bersahur itu habis diagihkan kurang daripada sejam di situ.

No comments:

Post a Comment